Friday, 23 January 2015



Thursday, 30 August 2012

IMPLIKASI PEREZAAN INDIVIDU TERHADAP P & P


BAB 3 : PERBEZAAN INDIVIDU
IMPLIKASI PERBEZAAN INDIVIDU TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
1.0    PENGENALAN
Menurut Suppiah Nachiappan (2008), perbezaan individu memberikan kesan yang besar terhadap kepelbagaian tingkah laku dalam bilik darjah. Bagi jangka masa pendek perbezaan yang wujud di kalangan murid tidak menampakkan kesan pembelajaran yang ketara.  Perbezaan yang wujud akan beransur-ansur merenggangkan hubungan antara rakan dengan rakan sekiranya tidak dibendung dari peringkat awal. Perbezaan individu merupakan cabaran terbesar kepada guru dalam mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang baik dan kondusif. Bagi memastikan semua murid memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran, setiap guru perlu membuat persediaan yang rapi kerana dalam setiap kumpulan tidak akan wujud kumpulan yang setara keupayaan berfikir dan memahami apa yang disampaikan oleh guru. Perbezaan gaya berfikir juga menentukan gaya pembelajaran seseorang murid. Sehubungan itu, guru haruslah mengkaji perbezaan murid-muridnya bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
2.0    IMPLIKASI PERBEZAAN INDIVIDU DAN GAYA PEMBELAJARAN TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)
2.1    Perbezaan gaya berfikir
Perbezaan gaya berfikir merujuk kepada gaya kognitif dan gaya murid belajar. Kedua-dua gaya terhasil daripada perbezaan individu. Kedua-dua gaya ditunjukkan oleh murid dalam kelas seperti ada yang lebih selesa belajar menggunakan kemudahan audio dan ada pula yang selesa dengan menggunakan alat visual. Murid-murid yang cepat bertindak akan cepat menyiapkan kerja-kerja rumah. Bagi murid-murid yang tidak berminat dengan kerja rumah akan menghantar lewat tugasannya kepada guru.
Gaya belajar dikelaskan sebagai gaya belajar bergantung, bebas, mengelak, bekerjasama, bersaing dan mengelakkan diri. Guru boleh mengenal pasti dengan jelas keenam-enam gaya belajar di atas dalam sesebuah kelas. Manurut pakar psikologi, terdapat sekurang-kurangnya dua puluh perbezaan gaya belajar dalam kalangan individu. Oleh itu, guru perlu membuat penyelidikan bagi mengkaji dan meneliti perlakuan setiap murid dalam kelas yang diajarnya sebelum pengajaran dimulakan.
Menurut teori pembelajaran pengalaman, terdapat empat peringkat pengalaman yang dilalui oleh murid iaitu, pengalaman konkrit, pemerhatian, reflektif, perkonsepan abstrak dan percubaan aktif. Hasil daripada empat peringkat ini, lahirlah individu dengan gaya belajar yang tersendiri sama ada diverger, assimilator, konverger,  ataupun akomodator.
2.2    Objektif pengajaran dan pembelajaran
Objektif pembelajaran perlu ditentukan mengikut kemampuan murid. Bagi murid yang pintar, objektif pembelajaran perlu lebih tinggi daripada murid yang lemah. Objektif pembelajaran perlu mengikut aras yang dicadangkan oleh taksonomi Bloom, iaitu aras pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis dan sintesis. Aras kesukaran pada objek atau penilaian perlu berubah mengikut prestasi murid.  Bagi murid-murid yang pintar cerdas tentu memerlukan objektif yang lebih luas jika dibandingkan dengan kumpulan yan lemah.

2.3    Kesediaan belajar
Sememangnya diketahui bahawa umur merupakan faktor yang sangat penting dalam menentukan kesediaan kanak-kanak untuk belajar. Namun demikian, kanak-kanak yang sama umurnya tidak semestinya berada di peringkat kesediaan belajar yang sama. Murid-murid yang mendapat pendidikan asas di rumah dan pernah memasuki kelas tadika dan pra sekolah akan kelihatan cukup bersedia semasa guru memulakan sesuatu pengajaran. Keadaaanya adalah berbeza dengan murid-murid yang tidak dapat menikmati kemudahan dan keperluan tersebut.
Murid-murid yang telah dikenal pasti mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesediaan kognitif dan kesediaan psikomotor memerlukan pertimbangan sewajarnya daripada guru dalam pemilihan kaedah dan teknik mengajar. Murid-murid yang pintar selalunya bersedia awal untuk belajar berbanding dengan murid lembam yang memerlukan ransangan yang lebih untuk menggerakkan mereka belajar. Perlu diperhatikan juga tahap kecergasan dan kestabilan emosi murid sebelum pengajaran dimulakan. Oleh itu, dicadangkan guru membuat pemerhatian awal secara rambang untuk mendapatkan tahap kesediaan murid pada hari itu.
Di peringkat sekolah menengah pula, disamping perbezaan dari segi umur, faktor motivasi, tekanan emosi, pemilihan mata pelajaran yang sesuai, keyakinan diri dan sikap guru terhadap murid juga mempengaruhi kesediaan seseorang untuk belajar. Contohnya, sekiranya seorang pelajar tidak meminati mata pelajaran Geografi dipaksa oleh guru untuk mengambilnya, besar kemungkinan pelajar tersebut tidak akan menyediakan dirinya untuk belajar. Situasi ini jika berlarutan akan menyebabkan keputusan peperiksaan pelajar tersebut turut terjejas.
2.3    Gangguan pengajaran dan pembelajaran
Gangguan pengajaran dan pembelajaran berkaitan dengan kesediaan belajar. Murid-murid yang bersedia belajar selalunya akan memudahkan guru memulakan pengajaran. Mereka juga biasanya saling bekerjasama dengan rakan-rakan dalam sebarang aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Sebaliknya bagi murid yang bermasalah seperti malas belajar, meminta perhatian yang berlebihan, nakal dan berkelakuan tidak senonoh, mereka akan menggangu pembelajaran. Murid-murid ini akan menggangu rakan, membuat bising dan tidak mengendahkan arahan guru. Guru harus berhati-hati menangani murid-murid salah laku yang berkecenderungan merosakkan harta sekolah dan mencetuskan pergaduhan dengan rakan lain. Walau bagaimanapun, terdapat kes-kes murid yang cerdik menggangu pembelajaran seperti terlalu proaktif, menyudahkan kerja terlalu cepat dan berani melawan.
2.4    Kadar kecerdasan mengikut jantina
Manusia memang jelas berbeza dalam kadar dan kebolehan. Darjah kecerdasan biasanya berubah-ubah mengikut umur, sikap, kematangan dan faktor persekitaran. Berbagai-bagai jenis ujian, kajian telah dan sedang dilaksanakan untuk mengukur darjah kecerdasan kanak-kanak. Kajian-kajian di negara Barat membuktikan bahawa kecerdasan seseorang akan bertambah apabila umurnya meningkat.  Hal ini adalah sejajar dengan pendapat bahawa seseorang pelajar yang telah sedar akan nilai pendidikan akan mempunyai inisiatif dan motivasi yang kuat untuk belajar. Pada umumnya, keupayaan intelek dan penguasaan bahasa pelajar perempuan di peringkat sekolah rendah adalah lebih baik daripada pelajar lelaki. Sebaliknya, tahap kecerdasan pelajar lelaki adalah sederhana dan akan meningkat mencapai kematangan apabila sampai ke peringkat pengajian tinggi. Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa tahap kecerdasan pelajar perempuan akan kekal stabil apabila sampai ke peringkat pengajian tinggi. Mungkin itulah sebabnya mengapa angka kemasukan pelajar perempuan ke pusat pengajian tinggi adalah lebih ramai daripada lelaki. Walaupun demikian, kajian tentang perbezaan pada kebolehan antara jantina masih belum lagi dapat dilaksanakan dengan secukupnya untuk merumuskan satu kesimpulan yang sempurna.

2.5    Latar belakang kehidupan
Keadaan latar belakang kehidupan sesebuah keluarga ada hungkait dengan kemajuan anak-anaknya. Sebagai contoh kita sering mendengar kebanyakan sekolah di Bandar mencatatkan keputusan peperiksaan umum yang cemerlang. Apabila ditinjau dan diteliti, murid-murid dari “sekolah-sekolah cemerlang” ini sebenarnya mempunyai latar belakang keluarga yang sempurna. Keluarga berkenaan menyediakan berbagai-bagai kemudahan pembelajaran seperti menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tambahan, kemudahan  komputer berinternet dan buku-buku rujukan yang lengkap. Sebaliknya, murid-murid yang berasal dari kawasan luar bandar biasanya lebih rendah pencapaian mereka dalam sesuatu peperiksaan terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Hal ini kerana mereka kurang didedahkan dengan faktor-faktor persekitaran yang boleh mendorong mereka untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Sikap keluarga dan pengaruh sosiobudaya masyarakat di luar bandar secara tidak langsung mempengaruhi suasana pembelajaran di kalangan murid-murid.

2.6    Kebolehan fizikal
Pada umumnya, kanak-kanak mempunyai kebolehan yang berbeza untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan yang melibatkan psikomotor. Keadaan ini jelas terbukti melalui kecergasan dan kemahiran kanak-kanak dalam sebarang kegiatan atau permainan tertentu yang bergantung kepada kematangan oto-otot pada organ-organ yang penting. Penyelarasan psikomotor dan kebolehan bertambah selari dengan meningkatnya umur. Peningkatan umur akan membawa bersamanya kuasa untuk mengekalkan perhatian, penyelarasan otot, kepantasan, ketetapan kawalan dan penentangan kepada kelesuan.
Kanak-kanak di peringkat sekolah rendah harus menguasai asas iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Kemahiran-kemahiran asas seperti menulis sangat bergantung kepada sejauh mana otot kecil mata, jari dan tangan bekerjasama dengan kekuatan pemikiran individu. Oleh itu, pelajar yang mempunyai koordinasi yang baik diantara otot-otot mata dengan otoot-otot yang terdapat di bahagian lengan biasanya dapat menulis dengan cepat dan cantik sekiranya dibandingkan dengan yang menghadapi masalah dalam penyelarasan otot-otot tersebut. 

2.7    Perbezaan sosial
Murid-murid yang bersifat ekstrovert biasanya aktif mengambil bahagian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mereka juga tidak teragak-agak menyoal guru tentang aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran yang mereka kurang memahami. Oleh itu, mereka akan membentuk konsep-konsep yang lebih jelas den seterusnya dapat menunjukkan pencapaian persekolahan yang lebih baik. Sebaliknya, murid-murid yeng bersifat introvert, iaitu yang gemar berseorangan biasanya akan menarik diri daripada penyertaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, mereka akan berasa malu dan takut untuk mengemukakan soalan-soalan sekiranya menghadapi pelbagai kesulitan atau keraguan. Hal ini seterusnya akan menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam kemajuan persekolahan.

2.8    Perbezaan emosi
Murid-murid yang berasal daripada keluarga yang bahagia serta mendapat asuhan ibu bapa yang sempurna akan mengalami kestabilan emosi. Murid-murid seperti ini tentu dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Penumpuan seperti ini tetap akan membantu mereka membentuk konsep-konsep yang jelas dalam pelbagai mata pelajaran. Situasi seperti ini akan membolehkan pelajar berkenaan memperoleh pencapaian akedamik yang baik di dalam bilik darjah. Sebaliknya, murid yang berasal daripada keluarga yang retak atau ibu bapa yang terlalu sibuk sentiasa mengalami masalah emosi kerana kekurangan kasih sayang dan perhatian. Emosi yang kurang stabil tetap akan menjejaskan penumpuan mereka terhadap mata pelajaran yang diajar oleh guru di dalam kelas. Keadaan ini tentu akan menjejaskan pencapaian akedemik mereka.


3.0   PERANAN GURU DALAM MENGHADAPI PERBEZAAN INDIVIDU
Guru ialah objek penting perlu mengetahui dan menangani perbezaan individu.

3.1    Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Strategi yang berkesan adalah diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada umumnya, strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis iaitu strategi pemusatan, iaitu pemusatan kepada guru, murid atau pada bahan. Pemilihan strategi pengajaran oleh guru bergantung pada situasi murid. Pemusatan strategi pengajaran oleh guru bergantung pada situasi murid. Pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap kerana ia boleh diubah-ubah mengikut keadaan semasa murid.

3.2    Memberi peneguhan positif dan peneguhan negatif
Ahli psikologi mengambil berat tentang kemahiran guru menggunakan peneguhan di dalam bilik darjah. Peneguhan positif bermakna guru memberikan pujian atau hadiah kepada satu tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid. Sebalikknya, jika sesuatu tingkah laku yang dibentuk oleh murid tidak dikehendaki atau negatif guru boleh menggunakan penangguhan nagatif.

3.3    Teknik motivasi
Motivasi bermakna penggerak untuk memandu tingkah laku murid kearah yang lebih dinamik. Guru mungkin bertemu kumpulan murid-murid yang tidak bermaya, malas belajar, tidak mempunyai cita-cita dan suka ponteng kelas. Mengikut Greece,  seorang tokoh motivasi, menyatakan setiap tingkahlaku individu yang berbeza-beza memerlukan satu teknik motivasi yang berbeza-beza. Seorang yang malas belajar dengan seorang yang tidak mempunyai cita-cita memerlukan tenaga penggerak yang berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu biasa dan memahirkan diri dengan pelbagai teknik motivasi.

3.4    Mempelbagaikan kaedah mengajar
Perbezaan individu boleh berlaku pada sebarang peringkat umur iaitu sama ada pada kanak-kanak ataupun orang dewasa. Bagaimanapun, dalam situasi pengajaran, para pendidik yang peka dan berpengalaman boleh mengatasi keadaan perbezaan murid-murid dengan memperkenalkan pelbagai kaedah pengajaran iaitu;
a)    Kaedah kumpulan mengikut kebolehan
Di peringkat sekolah rendah, murid-murid biasanya mempunyai kebolehan yang berbeza dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira. Maka guru-guru boleh menggunakan kaedah kumpulan untuk mengatasinya.
Pengumpulan sejenis atau homogenus ini adalah berdasarkan kepada prinsip bahawa kanak-kanak belajar dengan lebih baik dan cekap. Guru akan melihat kanak-kanak secara individu dan mengumpulkan mereka yang sama atau hampir sama taraf kepada satu kumpulan. Biasanya guru menggunakan tiga kumpulan iaitu kumpulan A, B dan C. Kumpulan A terdiri daripada murid-murid yang dianggap pandai, kumpulan B murid-murid sederhana manakala kumpulan C murid-murid yang lemah. Dengan menggunakan kaedah tersebut, guru dapat mengenal pasti punca kelemahan murid dan dapat memberikan penumpuan yang sepenuhnya. Dalam beberapa bulan, besar kemungkinan murid-murid yang lemah akan dapat meningkatkan lagi pencapaian iaitu setanding dengan kumpulan B dan A.
Guru juga boleh melihat  sekolah yang menggunakan nama kelas berbeza dalam sesuatu darjah bagi membezakan kebolehan murid. Pembahagian kelas ini dilakukan selepas sesi persekolahan semester pertama bermula. Murid dipilih berdasarkan pencapaian purata mereka dalam peperiksaan akhir semester lepas. Oleh itu, guru tidak perlu menggunakan kaedah kumpulan semasa mengajar di dalam sesebuah kelas.
b)    Pengajaran bebas dan menggunakan Bilik Sumber
Pengajaran bebas bermaksud memberi kebebasan kepada murid dalam masa tertentu untuk belajar atau membuat kerja-kerja latihan di sudut-sudut bacaan atau bilik sumber secara bersendirian atau berkumpulan. Bilik-bilik yang dimaksudkan itu perlu mengandungi pelbagai sumber seperti buku, majalah, akhbar dan komputer. Kanak-kanak digerakkan dalam pembelajaran mereka dengan mengetahui apa yang dibuatnya dan dengan memulakan kegiatannya sendiri kearah mencapai sesuatu peringkat. Tugas guru hanyalah sekadar membimbing murid yang ingin mendapatkan bantuan. Kanak-kanak adalah bebas untuk menyediakan tugasanya dengan sendiri melalui bantuan guru.
c)    Pengajaran pemulihan
Pengajaran pemulihan hanyalah ditumpukan kepada murid-murid yang lemah dalam menguasai sesuatu kemahiran asas pembelajaran di peringkat awal seperti di tahun  1 sekolah rendah. Pelajar yang terlibat biasanya tidak dapat mengikuti sebahagian besar pengajaran yang disampaikan oleh guru sama ada secara formal atau tidak formal. Tujuan pengajaran pemulihan ini adalah untuk mengurangkan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar dan seterusnya membina sifat keyakinan diri.
Guru boleh mengenal pasti pelajar yang dianggap terlampau lemah denagn memerhatikan tingkah laku dan hasil kerja mereka. Ujian diagnostik akan diberikan kepada mereka yang disahkan memerlukan pendidikan khas untuk mengesan kelemahan-kelemahan yang utama. Sesudah dilaksanakan pengajaran khas, satu ujian akan diberikan bagi menilai keberkesanan pengajaran tersebut. Pelajar yang berjaya akan dimasukkan semula ke kelas biasa. Manakala mereka yang gagal akan ditambahkan lagi masa bagi mmebolehkan mereka mendapat pendidikan dan bimbingan yang lebih baik di kelas pemulihan.
d)    Program pengayaan
Seseorang pendidik perlu menyediakan satu program pengayaan berdasarkan tahap pencapaian dan kemahiran asas yang ditunjukkan oleh para pelajarnya. Program ini merupakan satu corak aktiviti pembelajaran yang membolehkan murid-murid mengembangkan sifat ingin tahu, daya cipta, bakat kepimpinan, minat belajar, semangat berdikari, motivasi dan memperluaskan lagi dalaman.
Program ini boleh dilaksanakan sebaik sahaja guru mengenal pasti peringkat-peringkat pencapaian murid. Murid yang cerdas diberi beberapa latihan pembelajaran yang mencabar. Murid yang sederhana pula diberi latihan yang bersesuaian dengan tahap mereka. Manakala, murid yang lemah, latihan yang lebih mudah diberikan. Secara ringkasnya, program pengayaan ini dapat menolong para guru merancang beberapa strategi pengajaran yang sesuai dengan tahap kemampuan murid yang berbeza-beza.
e)    Progran berunit mengikut kecepatan sendiri murid
Dalam rancangan ini, guru menyediakan beberapa unit kecil untuk diagihkan kepada semua pelajar. Rancangan ini membantu para pelajar meningkatkan lagi pencapaian mengikut kecepatan mereka sendiri. Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah Dalton. Melalui kaedah ini, pelajar digerakkan terlebih dahulu tentang apa yang patut dilakukan. Mereka juga bebas untuk memilih aktiviti pembelajaran yang disukai. Guru hanyalah bertindak sebagai pembimbing dan bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang positif. Sementara itu, graf kemajuan harian murid akan disimpan bagi melihat kebolehan dan pencapaian mereka.
f)     Kaedah garak balas.
Kaedah ini bermaksud melatih murid membuat aktiviti sama ada secara persendirian atau berkumpulan. Kaedah memerlukan penglibatan aktif kanak-kanak dalam situasi belajar dan bukannya penerima yang pasif  daripada guru. Aktiviti ini boleh dilakukan dengan cara penyelidikan, lawatan, demonstrasi dan juga kerja-kerja projek. Bagi memenuhi objek tersebut, guru harus menyediakan alat bantu mengajar yang cukup kepada murid. Guru juga boleh menggalakkan murid memilih bahan atau alat sendiri, iaitu sesuai dengan aktiviti yang hendak dilakukan. Guru dapat mengetahui tahap pemikiran pelajar melalui hasil laporannya.
g)    Pengajaran terancang
Dalam pengajaran terancang, setiap murid akan belajar mengikut kemampuan dan cara yang tersendiri. Guru perlu mahir dalam menyusun strategi perancangan yang logik tanpa merujuk kepada buku teks. Terdapat tiga jenis pengajaran terancang, iaitu jenis linear, semua murid dikehendaki mendapatkan bahan yang sama, tetapi membuat kerja mengikut kadar yang tersendiri. Murid akan mendapat maklum balas dengan segera dari guru tentang apa yang dibuat. Jenis bercabang ialah pengajaran terancang yang disusun agar murid yang cekap dapat mengikutinya dengan cepat. Jenis penyesuaian pula ialah yang dianggap tercanggih melalui penggunaan komputer bagi mengawal tahap kebolehan individu.
Pada masa ini terdapat berbagai-bagai kaedah mengajar telah dicipta. Kaedah-kaedah mengajar ini disukai oleh murid secara berbeza-beza. Contohnya, ada murid yang tidak suka dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran bersama rakan manakala ada juga murid yang suka kepada bentuk pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah. Guru perlu mendalami kecenderungan kaedah pengajaran yang disukai oleh murid. Walau bagaimanapun, guru pastinya tidak dapat memenuhi permintaan kehendak semua murid tetapi dengan mempelbagaikan kaedah mengajar akan dapat mengurangkan kebosanan murid.
3.5    Merancang variasi penyampaian
Variasi penyampaian bermakna guru menggunakan segala kebolehan dan bakat sebagai guru semasa berhadapan dengan murid. Guru perlu menggunakan semua pencainderanya seperti tepuk tangan, fokus pandangan, gerakan kepala dan gerakan fizikal guru yang berbagai-bagai. Dengan mempelbagaikan variasi rangsangan mampu menarik perhatian murid. Murid yang mengantuk secara tiba-tiba akan terjaga apabila mendengar tepukan tangan guru. Murid yang suka menggangu rakan akan berhenti mengganggu rakan apabila guru bergerak menghampirinya. Guru dikehendaki selalu menukar-nukarkan intonasi suara supaya murid-murid benar-benar terhibur. Banyak kajian menunjukkan murid-murid tidak berminat belajar disebabkan oleh persembahan pengajaran guru tidak memberangsangkan.

3.6    Nasihat kaunseling pembelajaran
Individu yang berbeza-beza memerlukan teknik nasihat yang berbeza-beza. Guru perlu mempunyai asas kemahiran kaunseling. Etika kaunseling adalah penting apabila berhadapan dengan murid. Pasti ada murid yang tidak sanggup berhadapan dengan pembetulan tingkah laku secara terang-terangan. Terdapat juga murid yang memerlukan bantuan rakan sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka. Kepercayaan murid pada guru bergantung kepada perhatian guru kepada mereka. Guru yang memahami masalah murid sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah pembelajaran murid.

3.7    Menghubungi keluarga
Tingkah laku murid kadang-kadang berbeza dengan apa yang dipamerkan di sekolah dan rumah. Oleh itu, guru perlu bersedia menjalinkan hubungan dengan keluarga murid untuk berkongsi mengenali tingkah laku murid. Kemampuan guru berkomunikasi dengan ibu bapa membantu memudahkan guru mengesuaikan teknik-teknik mengajar.


KESIMPULAN
Perbezaan individu adalah satu elemen yang penting dalam bidang psikologi pendidkan. Perbezaan individu dalam kalangan murid harus dipelajari dan dikenal pasti oleh seseorang guru bagi melancarkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Cabaran paling besar guru-guru adalah untuk menangani pelbagai kesan yang disebabkan oleh perbazaan individu dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan baik supaya ianya memberi faedah kepada semua murid.
RUJUKAN
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Suppiah, Ramlah, Abdul Aziz (2008). Siri Pendidikan Guru: Psikologi Pendidikan. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng. (1996). Psikologi Pendidikan 1: Psokologi Perkembangan Semester 1. Shah Alam, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Murugiah Velayutham. (1996). Psikologi Pendidikan 1: Psikologi Perkembangan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan: Psikologi Pendidikan. Selangor: Penerbit Multimedia Sdn. Bhd.
Syarifah Alwiyah Alsagoff. Psikologi Pendidikan 1. Longman

 
HALIMAH BINTI ABDULLAH
DPLI MU/RBT


No comments:

Post a Comment